Photobucket
Photobucket
lihat iklan di sebelah...

PERJUANGAN

Perjuangan, suatu usaha yang murni…namun untuk mencapai matlamatnya, pelbagai dugaan dan cabaran harus ditempuhi. Pahit manis mengisi ruang hati… apakah kesudahannya nanti… hanya Dia yang Maha Mengerti.


Umat islam itu bersaudara… maka damaikanlah antara mereka yang bersengketa… baik dalam urusan agama mahupun dunia. Terkilan hati ini, bila ada dikalangan umat islam sendiri yang memandang remeh akan perkara ini. Sehinggakan hanya disebabkan hal yang kecil boleh menyebabkan persengketaan yang besar. Apakah sudah hilang nilai kemanusiaan dalam diri insan zaman ini?


Ada segelintir umat islam yang mencari Tuhan di saat menghadapi kesulitan sahaja. Dan lebih menyedihkan bila Tuhan itu dijadikan tempat bergantung hanya untuk seketika cuma. Apakah mereka ini hendak bermain-main dengan Yang Maha Berkuasa? Tak takutkah dengan hukumanNya yang datang tanpa diduga?... Sangat menyedihkan realiti umat masa kini… tak sanggup untuk berhadapan dengannya… tak sanggup pula untuk menghadapi dugaan ini sendiri… memang besar peranan seorang da’ie tika ini… untuk memancarkan kembali cahaya islam di muka bumi.


Perjalanan dakwah memang sukar untuk diharungi. Terdetik di hati ini, mengenang kembali perjalanan dakwah kekasih Allah yang tercinta, betapa tabahnya baginda menghadapi segala tohmahan dan hinaan orang yang menentang. Jika dibandingkan dengan usaha yang tak seberapa ini terlalu banyak bezanya menunjukkan bahawa masih kurang iman di dada. Masih banyak yang perlu dipelajari, masih banyak ilmu yang perlu dicari. Namun yang lebih penting adalah mengamalkan segala ilmu yang dimiliki. Mudah-mudahan Allah membimbing kita menjadi hambaNya yang bertaqwa. Amin Ya Rabb


1431H

Assalamualaykom wbt.


Segala pujian bagi Allah SWT yang telah melimpahkan rahmat dan hidayahNya kepada hamba-hambaNya sehingga ke hari ini. Syukur pada Ilahi dengan nikmat islam dan iman yang dimiliki hingga ke saat ini. Semoga ia menjadikan kita hamba yang bersyukur dan bertaqwa. Selawat dan salam atas junjungan mulia Nabi Muhammad saw, ahli keluarganya serta para sahabat radiallahu ‘anhum. Mudah-mudahan kita tergolong dikalangan mereka yang mendapat syafaat baginda di Mahsyar kelak.


Memang pantas masa berlalu. Rasanya seperti semalam baru dilahirkan. Seolah-olah baru pertama kali melihat dunia dan menjejakkan kaki di sini. Tapi rupanya kita tertipu oleh diri yang sentiasa menurutkan nafsu jahatnya demi menakluki dunia fana ini. “Apa yang terfikir dibenakmu sehingga kau tega untuk menjadi teman kepada nafsumu yang keji? Atau mungkin ilmu itu belum sampai ke pengetahuanmu? Carilah ilmu itu seumur hidupmu…mudah-mudahan kau mengenal yang hak dan batil”


Ingatlah, suatu saat kita akan ditanya tentang apa yang kita kerjakan seumur hidup ini? Setiap anggota akan membuat pengakuan yang benar tanpa ada satu pun yang terlindung di hadapan al-Hasib. Andai kita merasa aman ketika ini dengan dosa-dosa yang menggunung, merasa indah dengan fatamorgana duniawi maka sedarlah bahawa kita ini sebenarnya sudah tergolong dikalangan orang yang terpedaya dan diperdaya oleh Allah sendiri.


Mungkin ada yang mempersoalkan, mengapa Allah sanggup memperdayakan kita? Cubalah renung pada diri, apakah selama ini nikmatNya yang banyak kepada kita itu kita syukuri? Apakah selama ini kita melaksanakan sesuatu sesuai dengan syariat yang telah digariskan dalam al-Quran dan al-Hadis? Bagaimana pula dengan hukum islam yang kita permainkan dan kita pandang remeh tentang perlaksanaan dan kesannya? Hakikatnya sudah banyak kerosakan yang kita lakukan di dunia ini bahkan tanpa segan silu pula kita menyalahkan al-Haq.


Bila manusia sudah menjadikan nafsu sebagai pemimpin kepada akalnya, maka inilah yang akan terjadi… mereka melihat segala yang buruk itu indah, yang keji itu mulia, yang salah itu benar sehingga menjerumuskan diri mereka ke lembah yang keji dan hina…yang menempatkan darjat mereka lebih rendah dari binatang.


Renungkan kembali perjalanan hidup ini… Siapa kita? Apa tujuan hidup kita sebenarnya? Apa tanggungjawab kita di dunia ini? Ke mana destinasi akhir yang akan dituju? Bagaimana pula bekalan untuk ke sana sedangkan perjalanannya terlalu jauh? Apakah dengan bekalan yang ada pada saat ini sudah cukup untuk membawa kita ke sana? Siapakah yang akan kita temui? Dan berbagai-bagai persoalan yang lain. Andai persediaan itu tidak dilakukan dari sekarang, belum tentu esok kita berkesempatan untuk melakukannya. Sedarlah bahawa usia hidup ini tidak lama, bahkan ajal maut itu sendiri tak diketahui, maka mengapa kita benar-benar yakin bahawa kita masih berpeluang menikmati hari esok? Berfikirlah sebelum melakukan sesuatu. Berusahalah mencari ilmu yang bermanfaat yang akan mengeluarkan diri dari kejahilan yang menyesatkan.


Singkap kembali lembaran-lembaran sirah umat Islam. Bagaimana perjalanan dakwah Rasulullah saw menyebarkan islam kepada umatnya dengan penuh gigih. Pelbagai cabaran dan dugaan dihadapi dengan penuh ketabahan sehingga terjadinya peristiwa hijrah. Dari situlah bermulanya pembinaan sebuah negara islam pertama yang mana mampu menghidupkan toleransi dan keharmonian dikalangan penduduk Madinah dan hal ini tidak dapat dinafikan oleh catatan sejarah. Dari situ jugalah kemenangan demi kemenangan diraih oleh umat islam. Semuanya demi menegakkan kalimah tauhid di muka bumi ini. Ambillah iktibar daripadanya…mudah-mudahan pintu hati ini akan terbuka untuk berada di jalan yang benar dan berusaha ke arahnya.


Kini sudah 1431 tahun peristiwa hijrah itu berlalu…namun amat menyedihkan kerana islam pada hari ini sangat menderita. Bukan kerana ujian yang hebat tetapi kerana umat islam zaman ini tertipu oleh syaitan dan nafsu. Mereka sanggup menggadaikan agama demi memenuhi kehendak nafsu durjana. Mereka sanggup menjual agama demi kemewahan yang melimpah-ruah. Mereka juga sanggup membunuh agama demi merebut dunia dan isi-isinya. Betapa kejinya manusia seperti ini…Na’uzubillah min zalik.


Justeru, apa takrifan Hijrah pada diri kita sebenarnya? Jika ‘HIJRAH’ itu diertikan sebagai perpindahan, maka Hijrahkanlah hati dan fikiran kita ke arah yang benar, terang dan selamat. Apa yang kita lakukan ketika ini fikirkan apa kesannya nanti di Akhirat. Jika hari ini api yang membakar itu mampu membuatkan kita merasa sakit, apakah kita sanggup menghadapi api Neraka yang jauh lebih dahsyat panasnya, yang bahan bakarnya dari manusia sendiri? Jika kita merasa seronok dengan nikmat dunia yang sedikit ini, bagaimana agaknya rasa nikmat Syurga yang jauh lebih indah itu?


Marilah kita menjadi umat islam yang cemerlang akalnya, hatinya dan agamanya. Hijrah itu menjadi asas kepada kegemilangan umat islam. Oleh itu sesuailah jika dikatakan umat islam yang belum atau tidak mahu berhijrah sebagai orang yang tidak cemerlang dan bukan orang yang berjaya kerana mereka tidak mahu membebaskan diri dari pimpinan syaitan dan nafsu yang menyesatkan. Berhijrahlah daripada kebodohan kepada kebijaksanaan, daripada kejahilan kepada kefaqihan, daripada keburukan kepada kebaikan, dan daripada kesesatan kepada cahaya kebenaran.


Moga kita dipermudahkan jalan mencari kebenaran yang menghantarkan kita kepada ketaqwaan yang tinggi nilainya di sisi Allah. Wallahua’alam.


Besar harapan insan untuk bertemu Tuhan

Namun apakah benar jalan yang ditempuh?

Pastinya jalan kebenaran itu penuh duri dan berliku

Sabar dan doa itulah kekuatan

Ilmu yang haq menyuluh ke jalan terang

Moga Allah memudahkan segalanya

Moga menjadi insan bertaqwa


SALAM MAAL HIJRAH 1431H


كل عام أنتم بخير و في طاعة الله

.::Kasih Sayang Tuhan::.

Saat aku memerlukan teman untuk berbicara…

Tiada yang menghampiri dengan rela.

Saat diri ini sakit menanggung derita…

Tiada yang datang bertanyakan khabar.

Saat aku diperlakukan dengan kejam oleh ajakan nafsu…

Tiada yang hadir menghulurkan peringatan dan nasihat.


Kalaulah bukan kerana kasih sayang Tuhan Yang Maha Penyayang…

Pastilah aku menjadi rosak binasa…

Kini ku sedari, pergantungan sebenar hanyalah pada Al-Khaliq…

Sedang manusia tak mampu menjamin apapun…

Ramadhan Bulan Tarbiyah



Sedar tak sedar dah hampir ke pertengahan Ramadhan kita menjalani ibadah puasa. Begitu pantas masa berlalu namun tak terasa perjalanannya. Semoga bulan yang berkat ini dimanfaatkan sebaiknya, semaksimum yang mungkin untuk memperoleh keberkatan yang terkandung di dalamnya.



Ramadhan adalah bulan untuk mentarbiyah diri. Pelbagai hikmah terkandung di dalamnya memberi ruang kepada umat islam memenuhinya. Usah disia-siakan bulan ini dengan maksiat dan dosa… kerana apakah masih berkesempatan untuk menikmati Ramadhan yang akan datang? Sedangkan ajal maut itu tak mengenal masa dan keadaan, bila tiba waktunya tiada apa yang dapat menghalangnya.


Isilah ramadhan yang barakah ini dengan memperbanyakkan zikrullah dan doa siang dan malam, bertarawikh, bertadarus al-Quran di samping mentadabbur maknanya, bertahajjud di pertengahan malam dengan memanjangkan rukuk dan sujud, bersedekah, beriktikaf di sepuluh malam terakhir di samping berusaha untuk bertemu malam al-Qadr, memperbaiki hubungan persaudaraan sesama muslim dan segala amal kebajikan yang lain. Sesungguhnya pada bulan ini segala amalan dilipatgandakan pahalanya. Maka rebutlah peluang yang ada selagi masih berkesempatan untuk mendapatkannya.


Sama-samalah kita memanfaatkan usia yang tersisa ini dengan memperbanyakkan amalan yang akan menjadi bekalan di akhirat kelak khususnya pada bulan yang penuh barakah ini.


Wallahua’alam.

'Aid Mubarak 1430H


Assalam’alaykom wbt,


Ramadhan yang dirindui kini tiba lagi… menyeru kita seluruh umat islam menunaikan ibadah puasa. Perintah puasa telah diwajibkan Allah dalam firmanNya;


“Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa”. (Al-Baqarah : 183)


“Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan Al-Qur'an sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang haq dengan yang batil), kerana itu barangsiapa di antara kamu menyaksikan (masuknya bulan ini), maka hendaklah ia puasa”. (Al-Baqarah : 185).

Bulan Ramadhan adalah bulan yang penuh barakah. Pada bulan ini pintu syurga dibukakan dan pintu neraka ditutup serta syaitan-syaitan dibelenggu. Dalam bulan ini juga pelbagai peristiwa penting umat islam berlaku antaranya al-Quran diturunkan, tersetusnya perang Badar, pembukaan Kota Mekah, peristiwa perjalanan Nabi saw ke Tabuk, Islam sampai ke Yama, penyerahan Bandar Thaif, Islam membuka Andalus dan banyak lagi. Bulan ini penuh dengan kemuliaan, terhimpun dengan pelbagai keindahan… keindahan dalam beribadah, beramal dan mengidupkan sunnah. Bagi umat islam inilah bulan untuk memperbanyakkan amalan berbanding bulan-bulan yang lain.


Dari Abu Hurairah ra: Bahawa sesungguhnya Rasulullah saw pernah bersabda : Ketika datang bulan Ramadhan; Sungguh telah datang kepadamu bulan yang penuh berkat, diwajibkan atas kamu untuk puasa, dalam bulan ini pintu Jannah dibuka, pintu Neraka ditutup, Syaitan-syaitan dibelenggu. Dalam bulan ini ada suatu malam yang nilanya sama dengan seribu bulan, maka barangsiapa diharamkan kebaikannya (tidak beramal baik di dalamnya), sungguh telah diharamkan (tidak mendapat kebaikan di bulan lain seperti di bulan ini). (HR Ahmad, Nasai dan Baihaqy).


Sebelas bulan kita hidup bersama dengan godaan syaitan dan nafsu, namun pada bulan ini kita dibebaskan daripada mereka yang mana syaitan dibelenggu dan nafsu ditundukkan…maka inilah peluang untuk kita memperbanyakkan ibadah kepada Yang Maha Kuasa. Sebulan yang Allah berikan ini sebenarnya cukup untuk memperbaiki diri insan dalam menghadapi serangan-serangan para syaitan durjana pada bulan-bulan yang mendatang. Kerana itulah kita tidak boleh menjadikan puasa ini hanya sekadar menahan lapar dan dahaga semata-mata.


Kerana hakikatnya puasa itu bukanlah sekadar menahan lapar dan dahaga semata-mata bahkan untuk melatih diri menundukkan nafsu yang degil. Nafsu jika dibiarkan ia akan memusnahkan diri seseorang hamba itu… maka, ia mestilah dilemahkan sehingga tak mampu memperdaya lagi. Puasa adalah salah satu jalan untuk menundukkan nafsu, kerana berlapar dan dahaga adalah dua martabat yang dapat melemahkan nafsu seorang hamba.


Oleh itu, marilah kita berusaha menjadikan Ramadhan kali ini sebagai landasan untuk memperbaiki diri dengan bermuhasabah diri, memperbanyakkan ibadah-ibadah sunat, bersedekah dan segala amal kebajikan yang mampu kita laksanakan. Semoga dengan amalan-amalan di bulan barakah ini memberikan suatu kekuatan untuk istiqamah di bulan-bulan yang berikutnya. Dan mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertakwa yang tinggi martabanya di sisi Allah. Wallahua’lam


Klik [LINK] untuk lihat artikel Ramadhan yang lepas.


Ahlan wa Marhaban Ya Ramadhan!!!

Pesanan Luqman Al-Hakim

Hai anakku! Ketahuilah, sesungguhnya dunia ini bagaikan lautan yang dalam, banyak manusia yang karam ke dalamnya. Bila engkau ingin selamat, agar jangan karam, layarilah lautan itu dengan SAMPAN yang bernama TAKWA, ISInya ialah IMAN dan LAYARnya adalah TAWAKKAL kepada ALLAH.


Orang- orang yang sentiasa menyediakan dirinya untuk menerima nasihat, maka dirinya akan mendapat penjagaan dari ALLAH. Orang yang insaf dan sedar setalah menerima nasihat orang lain, dia akan sentiasa menerima kemulian dari ALLAH juga.


Hai anakku! orang yg merasa dirinya hina dan rendah diri dalam beribadat dan taat kpd ALLAH, maka dia tawadduk kepada ALLAH, dia akan lebih dekat kepada ALLAH dan selalu berusaha menghindarkan maksiat kepada ALLAH.


Hai anakku! Seandainya ibu bapamu marah kepadamu kerana kesilapan yang dilakukanmu, maka marahnya ibu bapamu adalah bagaikan baja bagi tanam-tanaman.


Jauhkan dirimu dari berhutang, kerana sesungguhnya berhutang itu boleh menjadikan dirimu hina di waktu siang dan gelisah di waktu malam.


Dan selalulah berharap kepada ALLAH tentang sesuatu yang menyebabkan untuk tidak menderhakai ALLAH. Takutlah kepada ALLAH dengan sebenar-benar takut (takwa), tentulah engkau akan terlepas dari sifat berputus asa dari rahmat ALLAH.


Hai anakku! Seorang pendusta akan lekas hilang air mukanya kerana tidak dipercayai orang dan seorang yang telah rosak akhlaknya akan sentiasa banyak melamunkan hal-hal yang tidak benar. Ketahuilah, memindahkan batu besar dari tempatnya semula itu lebih mudah daripada memberi pengertian kepada orang yang tidak mahu mengerti.


Hai anakku! Engkau telah merasakan betapa beratnya mengangkat batu besar dan besi yang amat berat, tetapi akan lebih lagi daripada semua itu, adalah bilamana engkau mempunyai tetangga (jiran) yang jahat.


Hai anakku! Janganlah engkau mengirimkan orang yang bodoh sebagai utusan. Maka bila tidak ada orang yang cerdik, sebaiknya dirimulah saja yang layak menjadi utusan.


Jauhilah bersifat dusta, sebab dusta itu mudah dilakukan, bagaikan memakan daging burung, padahal sedikit sahaja berdusta itu telah memberikan akibat yang berbahaya.


Hai anakku! Bila engkau mempunyai dua pilihan, takziah orang mati atau hadir majlis perkahwinan, pilihlah untuk menziarahi orang mati, sebab ianya akan mengingatkanmu kepada kampung akhirat sedangkan menghadiri pesta perkahwinan hanya mengingatkan dirimu kepada kesenangan duniawi sahaja.


Janganlah engkau makan sampai kenyang yang berlebihan, kerana sesungguhnya makan yang terlalu kenyang itu adalah lebih baiknya bila makanan itu diberikan kepada anjing sahaja.


Hai anakku! Janganlah engkau langsung menelan sahaja kerana manisnya barang dan janganlah langsung memuntahkan saja kerana pahitnya sesuatu barang itu, kerana manis belum tentu menimbulkan kesegaran dan pahit itu belum tentu menimbulkan kesengsaraan.


Makanlah makananmu bersama-sama dengan orang-orang yang takwa dan musyawarahlah urusanmu dengan para alim ulamak dengan cara meminta nasihat dari mereka.


Hai anakku! Bukanlah satu kebaikan namanya bilamana engkau selalu mencari ilmu tetapi engkau tidak pernah mengamalkannya. Hal itu tidak ubah bagaikan orang yang mencari kayu bakar, maka setelah banyak ia tidak mampu memikulnya, padahal ia masih mahu menambahkannya.


Hai anakku! Bilamana engkau mahu mencari kawan sejati, maka ujilah terlebih dahulu dengan berpura-pura membuat dia marah. Bilamana dalam kemarahan itu dia masih berusaha menginsafkan kamu, maka bolehlah engkau mengambil dia sebagai kawan. Bila tidak demikian, maka berhati-hatilah.


Selalulah baik tutur kata dan halus budi bahasamu serta manis wajahmu, dengan demikian engkau akan disukai orang melebihi sukanya seseorang terhadap orang lain yang pernah memberikan barang yang berharga.


Hai anakku! Bila engkau berteman, tempatkanlah dirimu padanya sebagai orang yang tidak mengharapkan sesuatu daripadanya. Namun biarkanlah dia yang mengharapkan sesuatu darimu.


Jadikanlah dirimu dalam segala tingkahlaku sebagai orang yang tidak ingin menerima pujian atau mengharap sanjungan orang lain kerana itu adalah sifat riya’ yg akan mendatangkan cela pada dirimu.


Hai anakku! Janganlah engkau condong kepada urusan dunia dan hatimu selalu disusahkan oleh dunia saja kerana engkau diciptakan ALLAH bukanlah untuk dunia sahaja. Sesungguhnya tiada makhluk yang lebih hina daripada orang yang terpedaya dengan dunianya.


Hai anakku! Usahakanlah agar mulutmu jangan mengeluarkan kata-kata yang busuk dan kotor serta kasar, kerana engkau akan lebih selamat bila berdiam diri. Kalau berbicara, usahakanlah agar bicaramu mendatangkan manfaat bagi orang lain.


Hai anakku! Janganlah engkau mudah ketawa kalau bukan kerana sesuatu yang menggelikan, janganlah engkau berjalan tanpa tujuan yang pasti, janganlah engkau bertanya sesuatupun yang tidak ada guna bagimu, janganlah mensia-siakan hartamu.


Barang sesiapa yang penyayang tentu akan disayangi, sesiapa yang pendiam akan selamat daripada berkata yang mengandungi racun, dan sesiapa yang tidak dapat menahan lidahnya dari berkata kotor tentu akan menyesal.


Hai anakku! Bergaullah rapat dengan orang yang alim lagi berilmu. Perhatikanlah kata nasihatnya kerana sesungguhnya sejuklah hati ini mendengarkan nasihatnya, hiduplah hati ini dengan cahaya hikmah dari mutiara kata-katanya bagaikan tanah yang subur lalu disirami air hujan.


Hai anakku! Ambillah harta dunia sekadar keperluanmu sahaja, dan nafkahkanlah yang selebihnya untuk bekalan akhiratmu. Jangan engkau tendang dunia ini ke keranjang atau bakul sampah kerana nanti engkau akan menjadi pengemis yang membuat beban orang lain. Sebaliknya janganlah engkau peluk dunia ini serta meneguk habis airnya kerana sesungguhnya yang engkau makan dan pakai itu adalah tanah belaka. Janganlah engkau bertemankan dengan orang yang bersifat talam dua muka, kelak akan membinasakan dirimu.